Official Website

A- A A+
| A A A A |   Arial | PT Sans | Century |

1akses

Perutusan Y.A.A Ketua Hakim Syarie Mahkamah Syariah Negeri Melaka Tahun 2018

YAA Datuk Haji Mohd Radzi bin Haji Abd Latif

Bismillah &  Salam 

Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia.

         

Segala puji bagi Allah SWT, atas nikmat kesihatan dan ukhuwah kepada kita. Selawat dan salam buat Rasul SAW. Syukur ke hadrat Ilahi kerana dipertemukan lagi dalam tahun 2018, semoga tahun ini akan menjadi tahun kecemerlangan bagi kita semua.

Mahkamah Syariah Negeri Melaka, adalah agensi pelaksanaan undang-undang dan hukum syarak untuk rakyat negeri Melaka. Misi Mahkamah adalah untuk memberi pengadilan kepada setiap aduan yang dibawa, secara profesional, berkesan dan sistematik. Untuk meningkatkan mutu sistem penyampaian, pihak Mahkamah telah berusaha untuk mendapat akreditasi  dari badan pengiktirafan tempatan dan antarabangsa. Semua ini dilakukan untuk meraih kepercayaan dan meningkatkan tahap kepuasan hati pelanggan.

Bagi membuktikan usaha tersebut, saya dengan sukacitanya memaklumkan bahawa Mahkamah telah berjaya mengekalkan persijilan 5S dalam auditan penghujung tahun 2017, mengekalkan penarafan pematuhan SIRIM ISO 9001/2015 dan MS 1900:2014 patuh syariah. Disamping mengekalkan penarafan Amalan Hijau, Mahkamah juga menubuhkan sekretariat EKSA sebagai usaha mendapatkan penarafan Ekosistem Kondusif Sektor Awam anjuran MAMPU.  Mahkamah Syariah juga adalah salah satu jabatan dalam negeri Melaka yang terpilih untuk penarafan SSR DIY tahun 2018.

Mahkamah juga telah melebarkan sayapnya ke daerah kecil dengan perasmian Mahkamah Rendah Syariah Masjid Tanah, Alor Gajah. Cawangan ketiga Mahkamah Syariah Melaka ini dirasmikan oleh YAB   Datuk Seri Ir. Idris bin Haron, Ketua Menteri Melaka pada 9 Februari 2017. Manakala pada 4 Mac 2017 Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XV, Sultan Muhammad V telah berkenan untuk merasmikan Mahkamah Rendah Syariah Sungai Rambai, Jasin. Ini merupakan cawangan keempat Mahkamah Syariah Negeri Melaka.

Idea baru sentiasa dipupuk dikalangan pegawai dan kakitangan agar khidmat penyampaian kepada pelanggan sentiasa bertambah baik. Kumpulan Inovasi Mahkamah Syariah Melaka yang terdiri dari The Sheriff, Adiwarna dan Aura Kesidang saling bantu membantu dalam menyumbang inovasi kreatif. Tahniah diucapkan atas penyertaan dan kejayaan yang diraih di sepanjang tahun 2017. Saya berharap tahun 2018 akan ada kejayaan untuk diraih bagi mengharumkan nama Mahkamah Syariah Melaka.

Saya juga mahu semua pegawai dan kakitangan, berganding bahu dengan agensi persekutuan, bagi menyahut aspirasi YAA Ketua Pengarah / Ketua Hakim Syarie, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Datuk Haji Mukhyuddin bin Hj Ibrahim untuk memartabatkan sistem kehakiman dan perundangan syariah. Semoga pada tahun ini, kita akan dapat meningkatkan lagi kerjasama strategik dengan agensi-agensi lain. Semua pegawai dan kakitangan meningkatkan ilmu pengetahun dan mengamalkan budaya kerja berintegriti dan berakauntabiliti.

Dalam usaha untuk menyempurnakan tanggungjawab sebagai penjawat awam, suka untuk diingatkan supaya kita berserah kepada Allah. InsyaAllah dengan niat yang baik dan kesungguhan untuk menunaikan amanah yang diberikan. Hasil dalam pekerjaan dan rezeki yang dinikmati akan kekal berkat dan diredhoi Allah SWT. Saya mendoakan agar Mahkamah Syariah Negeri Melaka, kekal sejahtera dan drahmati Allah. 

Sekian, Wassalam. Selamat Tahun Baru dan Selamat Maju Jaya.

Y.A.A. Datuk Haji Mohd Radzi bin Haji Abd Latif
Ketua Hakim Syarie,
Mahkamah Syariah Negeri Melaka.

Perutusan Ketua Hakim Syarie Tahun 2019

YAA Tuan Mohd Nadzri bin Abdul Rahman

Bismillah &  Salam 

Salam Sejahtera,

          Alhamdulillah, ucapan syukur kepada Allah S.W.T. atas nikmat yang tidak terperi, selawat dan salam atas Nabi junjungan kasih yang tidak bertepi, begitu juga kepada ahli keluarganya, para sahabat dan pengikutnya sehingga ke hari kiamat. Selamat tahun baru 2019 diucapkan kepada seluruh warga Mahkamah Syariah Negeri Melaka, ucap selamat ini juga ditujukan kepada semua pelanggan yang telah menyokong mahkamah syariah sebagai institusi keadilan negeri ini, juga kepada semua pihak yang sentiasa mengambil maklum perkembangan Mahkamah Syariah Negeri Melaka.

          Dengan izin Allah S.W.T. kita telah berjaya mengharungi tahun 2018 yang banyak memberi pengajaran dan kini melangkah ke tahun 2019 yang lebih mencabar. Dengan keikhlasan dan semangat yang telah dipamerkan tahun terdahulu, saya percaya kita akan lebih berjaya pada tahun ini. Mengambil kesempatan ini saya mengucapkan tahniah dan terima kasih atas pencapaian yang diperolehi untuk jabatan seperti penarafan 5 bintang bagi Audit Arahan Amalan oleh JKSM, pengekalan persijilan  ISO 9001:2015 dan MS 1900:2014, pingat gangsa bagi Kategori Pembudayaan Hijau (Agensi Kerajaan) sempena Anugerah Hijau Negeri Melaka 2018 dan Gold Award untuk Konvensyen Kualiti dan Inovasi ICQCC di Singapura.

          Kita juga telah berjaya meneruskan program Mahabbah Syariah (Hari Bertemu Pelanggan), penganjuran Majlis Penyampaian Tauliah Peguam Syarie oleh Ketua Menteri dan penutup bagi tahun 2018 penglibatan dalam Majlis Penyampaian Watikah Hakim dan Pendaftar oleh Timbalan Yang Dipertuan Agong. Sekadar menyebut beberapa pencapaian 2018, yang saya percaya tidak akan tercapai kecuali dengan kesungguhan dan kerjasama semua pihak. Komitmen seperti ini mesti dikekalkan dan dipupuk setiap waktu, walau bukan bertujuan mendapat pengiktirafan sahaja tetapi lebih utama lagi, ianya adalah suruhan Nabi S.A.W.:

         "Sesungguhnya Allah menyukai apabila salah seorang daripada kamu melakukan sesuatu pekerjaan, ia melakukannya dengan baik, sempurna dan teliti."              [Baihaqi].

         Seterusnya saya mengharapkan, agar semua warga mahkamah bertindak dengan bijak dalam menangani sumber yang terhad masakini, penggunaan bahan elektronik dioptimakan sejajar dengan kemajuan teknologi maklumat, pada masa yang sama kita mengotakan janji piagam pelanggan serta misi dan visi jabatan. Marilah kita berdoa, agar dipermudahkan segala urusan, keadilan dapat diberikan kepada pihak-pihak, pengurusan perbicaraan terurus dengan berkesan, diberikan kesihatan yang baik dan rezeki yang perolehi halal dan diberkati insyaAllah.

 

Sekian, Wassalam.
Selamat Tahun Baru dan Selamat Maju Jaya.
Syariah Asas Keadilan

Y.A.A. Datuk Mohd Nadzri bin Abdul Rahman
Ketua Hakim Syarie,
Mahkamah Syariah Negeri Melaka.

Foreword By Chief Syarie Judge

 

Datuk Mohd Radzi

 bismillah

 Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia.

          Alhamdulillah marilah kita merafakkan kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T. kerana atas limpah kurnia dan IzinNya tahun 2015 telah berjaya diharungi dengan penuh dedikasi dan jayanya. Pertamanya, Saya ingin mengucapkan selamat melangkah ke tahun baru kepada seluruh warga Mahkamah Syariah Negeri Melaka dengan tekad dan azam baru demi melaksanakan tugas yang telah diamanahkan. Mudah-mudahan kedatangan tahun baru 2016 ini disambut dengan satu tekad diri yang kukuh dan dengan niat yang positif untuk terus memacu ke hadapan dengan penuh keazaman dan semangat yang kental serta penuh iltizam untuk kita mengharungi cabaran baru di tahun 2016. Di kesempatan ini  juga saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga Mahkamah Syariah Negeri Melaka  yang komited serta memberikan komitmen dan kerjasama erat sepanjang tahun 2015 dan kedatangan tahun 2016 akan lebih mencabar keupayaan Jabatan supaya kekal relevan dan cemerlang sebagai Peneraju Perundangan Syariah di Negeri Melaka. Marilah kita bersama-sama berdoa kepada Allah SWT semoga usaha dan komitmen kita selama ini dalam menjalankan tugas yang diamanahkan, mendapat keredaanNya. Dengan berakhirnya tahun 2015 ini, kita hendaklah menilai sejauh mana objektif, misi dan strategi jabatan sudah tercapai. Kita perlulah sentiasa membuat muhasabah diri dan membuat penilaian apakah kekurangan dan kelemahan yang harus diperbaiki. Perancangan yang tersusun perlu dilaksanakan agar kita dapat mengekalkan momentum kejayaan yang terus menjadi agenda utama Jabatan. Kita telah meninggalkan Tahun 2015 dengan beberapa kejayaan yang cemerlang, dan momentum serta semangat daripada kejayaan cemerlang tersebut haruslah diteruskan pada tahun 2016 ini untuk membuktikan kesungguhan seluruh warga Mahkamah Syariah Negeri Melaka bagi terus mencipta kejayaan demi kejayaan yang lebih cemerlang di masa hadapan.


           Saya yakin ruang untuk menerapkan profesionalisme di kalangan warga Mahkamah Syariah Negeri Melaka sentiasa terbuka luas dan kita berupaya untuk menjalankan tugas dengan tepat, berintegriti dan adil untuk menerajui perkhidmatan Kehakiman Syariah secara profesional bagi menjamin akses kepada keadilan melalui proses perundangan. Saya menyeru agar semua warga Mahkamah Syariah Negeri Melaka terus meningkatkan pengetahuan dan kemahiran, memperkayakan pengalaman serta bertindak secara proaktif, kreatif dan inovatif dalam menyumbang kepada budaya kerja berprestasi tinggi dalam menjalankan peranan Mahkamah Syariah sebagai satu Jabatan yang terus dihormati oleh masyarakat. Jika kita bersatu hati, berdisiplin serta mengamalkan tadbir urus yang baik, segala cabaran dan dugaan yang timbul pasti akan dapat diatasi. Justeru, saya ingin mengajak setiap warga Mahkamah Syariah Negeri Melaka  tanpa mengira apa jua pangkat, jawatan dan kedudukan untuk kita bergerak dan bekerja keras sebagai satu pasukan serta melaksanakan amanah ini dengan penuh keikhlasan. Berikanlah yang terbaik. Tidak ada istilah sumbangan kecil atau besar kerana setiap sumbangan yang dilaksanakan secara bersungguh-sungguh dengan penuh keikhlasan pasti akan mendapat ganjaran yang sewajarnya.

Akhir kata saya mengucapkan SELAMAT MENYAMBUT TAHUN BARU 2016 kepada semua warga Mahkamah Syariah Negeri Melaka. Semoga tahun 2016 akan menjadikan kita seorang penjawat awam yang lebih cemerlang, berinovatif dan berdedikasi serta penuh tanggungjawab untuk terus berkhidmat demi meningkatkan prestasi Jabatan kita.

Sekian, Wassalam. Selamat Tahun Baru dan Selamat Maju Jaya.

 

Y.A.A. Datuk Haji Mohd Radzi bin Haji Abd Latif
Ketua Hakim Syarie,
Mahkamah Syariah Negeri Melaka.

 

FaLang translation system by Faboba