Official Website

A- A A+
| A A A A |   Arial | PT Sans | Century |

1akses

Perutusan YAA Ketua Hakim Syarie Mahkamah Syariah Negeri Melaka Sempena Hari Raya Aidilfitri 1440H

Banner AidilFitri Rasmi

 

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh
Allahu Akbar, Allahu Akbar,
Allahu Akbar


Alhamdulillah, dengan hidayah dan rahmat-Nya, kita telah berjaya menyempurnakan ibadah Ramadan pada tahun ini. Maka kini tibalah masanya untuk kita melaungkan takbir kemenangan dan kesyukuran ke hadrat Ilahi. Firman Allah SWT dalam Surah Baqarah ayat 185:-

“Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur.”

Kesan puasa Ramadan seharusnya menghasilkan jiwa dan hati yang sejahtera dan cintakan perdamaian. Jiwa dan hati seperti inilah bakal membentuk dan menjadikan kita ummah yang memiliki kesatuan yang teguh. Jiwa yang tenang dan damai akan cenderung mencari penyelesaian dengan tidak mendahulukan emosi berbanding akal.


Dalam rangka memacu keluarga Islam agar terus hidup dalam sakinah, mawaddah dan rahmah,  kita hendaklah  memelihara hati agar terus mengasihi dan menyayangi sesama pasangan dan saudara seIslam kita dan menjauhkan pergeseran serta perbalahan yang tiada berkesudahan. Walaupun ada perbezaan pandangan dan prinsip kehidupan, kita perlu cari titik persamaan agar kehidupan berkeluarga  terus cemerlang.Warga MSNM hendaklah menjadi role model dalam mencapai hasrat ini.


Kepada warga MSNM yang akan kembali ke kampung halaman masing-masing sempena perayaan ini, saya ingin menasihatkan agar berhati-hati di jalan raya. Rancang perjalanan dengan baik dan periksa kenderaan sebelum bertolak. Dapatkan rehat secukupnya dan pastikan dalam keadaan bersedia sebelum memulakan perjalanan. Biarlah kepulangan masing-masing disambut dengan air mata kegembiraan oleh saudara mara bukannya tangisan kedukaan.
Sambutlah hari raya pada tahun ini dengan penuh kesederhanaan dan kemeriahan bersama ibu bapa dan keluarga tersayang serta saudara mara agar dapat mengeratkan lagi silaturahim serta merapatkan tali persaudaraan.


Pesanan saya juga kepada seluruh warga besar MSNM, jadikan Syawal ini satu titik mula kecemerlangan kita dalam kehidupan dan kerjaya kita. Tekad kita sematkan semula, azam kita kuatkan kembali, ingin menjadi warga kerja yang cemerlang terhadap Tuhannya dan sesama Manusia. InsyaAllah sama-sama kita pasak kembali misi dan tujuan ini dalam diri kita semoga kita mampu melahirkan generasi yang berjaya seimbang dunia dan akhirat.


Justeru, MSNM sebagai agensi yang melaksanakan pengurusan dan pentadbiran hal ehwal keluarga Islam menyeru semua warga MSNM dan umat Islam keseluruhannya agar dapat memaknakan Ramadan yang telah berlalu dan diterjemahkan bermula Syawal ini dan seterusnya bulan-bulan mendatang untuk sama-sama membersihkan hati, mencari perdamaian dan penyelesaian seterusnya membina keluarga yang bahagia dan sentosa dalam menjamin generasi masa hadapan yang cemerlang.


Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri 1440H  dan menyusun sepuluh jari memohon ampun dan maaf kepada semua warga MSNM khususnya dan juga kepada para pelanggan MSNM dan seluruh umat Islam umumnya beserta harapan semoga kita memiliki Jiwa yang Bahagia, agar Ummah Sejahtera.
Sekian
 
YAA Mohd Nadzri Bin Haji Abdul Rahman
1 Syawal 1440H
Bersamaan 5 Jun 2019M
 

 

Perutusan Ketua Hakim Syarie Tahun 2016

Koleksi Perutusan KHS Tahun 2016

 Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia.

          Alhamdulillah marilah kita merafakkan kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T. kerana atas limpah kurnia dan IzinNya tahun 2015 telah berjaya diharungi dengan penuh dedikasi dan jayanya. Pertamanya, Saya ingin mengucapkan selamat melangkah ke tahun baru kepada seluruh warga Mahkamah Syariah Negeri Melaka dengan tekad dan azam baru demi melaksanakan tugas yang telah diamanahkan. Mudah-mudahan kedatangan tahun baru 2016 ini disambut dengan satu tekad diri yang kukuh dan dengan niat yang positif untuk terus memacu ke hadapan dengan penuh keazaman dan semangat yang kental serta penuh iltizam untuk kita mengharungi cabaran baru di tahun 2016. Di kesempatan ini  juga saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga Mahkamah Syariah Negeri Melaka  yang komited serta memberikan komitmen dan kerjasama erat sepanjang tahun 2015 dan kedatangan tahun 2016 akan lebih mencabar keupayaan Jabatan supaya kekal relevan dan cemerlang sebagai Peneraju Perundangan Syariah di Negeri Melaka. Marilah kita bersama-sama berdoa kepada Allah SWT semoga usaha dan komitmen kita selama ini dalam menjalankan tugas yang diamanahkan, mendapat keredaanNya. Dengan berakhirnya tahun 2015 ini, kita hendaklah menilai sejauh mana objektif, misi dan strategi jabatan sudah tercapai. Kita perlulah sentiasa membuat muhasabah diri dan membuat penilaian apakah kekurangan dan kelemahan yang harus diperbaiki. Perancangan yang tersusun perlu dilaksanakan agar kita dapat mengekalkan momentum kejayaan yang terus menjadi agenda utama Jabatan. Kita telah meninggalkan Tahun 2015 dengan beberapa kejayaan yang cemerlang, dan momentum serta semangat daripada kejayaan cemerlang tersebut haruslah diteruskan pada tahun 2016 ini untuk membuktikan kesungguhan seluruh warga Mahkamah Syariah Negeri Melaka bagi terus mencipta kejayaan demi kejayaan yang lebih cemerlang di masa hadapan.


           Saya yakin ruang untuk menerapkan profesionalisme di kalangan warga Mahkamah Syariah Negeri Melaka sentiasa terbuka luas dan kita berupaya untuk menjalankan tugas dengan tepat, berintegriti dan adil untuk menerajui perkhidmatan Kehakiman Syariah secara profesional bagi menjamin akses kepada keadilan melalui proses perundangan. Saya menyeru agar semua warga Mahkamah Syariah Negeri Melaka terus meningkatkan pengetahuan dan kemahiran, memperkayakan pengalaman serta bertindak secara proaktif, kreatif dan inovatif dalam menyumbang kepada budaya kerja berprestasi tinggi dalam menjalankan peranan Mahkamah Syariah sebagai satu Jabatan yang terus dihormati oleh masyarakat. Jika kita bersatu hati, berdisiplin serta mengamalkan tadbir urus yang baik, segala cabaran dan dugaan yang timbul pasti akan dapat diatasi. Justeru, saya ingin mengajak setiap warga Mahkamah Syariah Negeri Melaka  tanpa mengira apa jua pangkat, jawatan dan kedudukan untuk kita bergerak dan bekerja keras sebagai satu pasukan serta melaksanakan amanah ini dengan penuh keikhlasan. Berikanlah yang terbaik. Tidak ada istilah sumbangan kecil atau besar kerana setiap sumbangan yang dilaksanakan secara bersungguh-sungguh dengan penuh keikhlasan pasti akan mendapat ganjaran yang sewajarnya.

Akhir kata saya mengucapkan SELAMAT MENYAMBUT TAHUN BARU 2016 kepada semua warga Mahkamah Syariah Negeri Melaka. Semoga tahun 2016 akan menjadikan kita seorang penjawat awam yang lebih cemerlang, berinovatif dan berdedikasi serta penuh tanggungjawab untuk terus berkhidmat demi meningkatkan prestasi Jabatan kita.

Sekian, Wassalam. Selamat Tahun Baru dan Selamat Maju Jaya.

Y.A.A. Datuk Haji Mohd Radzi bin Haji Abd Latif
Ketua Hakim Syarie,
Mahkamah Syariah Negeri Melaka.

Perutusan Ketua Hakim Syarie Tahun 2017

YAA Datuk Haji Mohd Radzi bin Haji Abd Latif

Bismillah &  Salam 

Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia.

          Alhamdulillah, Setinggi-Tinggi Kesyukuran Ke Hadrat Allah Swt Kerana Dengan Limpah Izin Dan Kurnia-Nya Jua Kita Semua Juga Masih Diberi Peluang Untuk Terus Menjalankan Amanah Dan Berbakti Di Muka Bumi Allah Ini. Semoga Gerbang Tahun 2017 Ini Dimulakan Dengan Semangat Dan Azam Yang Baru Serta Dibuka Segala Pintu Kebaikan Oleh Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasih.

          Pertamanya, Saya Ingin Merakamkan Jutaan Terima Kasih Kepada Seluruh Warga Mahkamah Syariah Negeri Melaka Atas Pencapaian Yang Membanggakan Bagi Tahun 2016 Yang Telah Pun Melabuhkan Tirainya. Saya Berharap Agar Semangat Bekerja Berpasukan, Kegigihan Dan Keikhlasan Kita Semua Dalam Memenuhi Amanah Dan Tuntutan Kepada Agama, Bangsa Dan Negara Akan Terus Diberkati Dan Mencapai Matlamat Yang Dihasratkan. Masih Belum Terlambat Untuk Saya Mengucapkan Selamat Datang Tahun 2017. Semoga Dengan Kehadiran Tahun Baru Ini, Memberi Lebih Sinar Dan Harapan Buat Semua. Dengan Kesempatan Yang Diberikan Ini, Saya Mengharapkan Kita Dapat Menggunakan Dengan Sepenuh Manfaat Yang Ada Di Samping Memperbaiki Prestasi Ke Arah Yang Lebih Baik.

          Sepanjang Tahun 2016, Pelbagai Kejayaan Telah Ditempa Oleh Mahkamah Syariah Negeri Melaka Samada Dari Sudut Penambahbaikan Sistem Penyampaian Dan Perkhidmatan Serta Sistem Pentadbiran Yang Tersusun Sehingga Membolehkan Mahkamah Syariah Negeri Melaka Menerima Pelbagai Anugerah Dan Penghargaan. Kejayaan Dan Pencapaian Ini Tidak Lain Dan Tidak Bukan Adalah Merupakan Hasil Usaha Kesepaduan Antara Pegawai Dan Kakitangan Secara Keseluruhannya. Kita Ibarat Sebuah Bangunan Yang Tersergam Indah, Disokong Oleh Tiang-Tiang Dan Tapak Yang Kukuh. Jika Salah Satu Tiang Tersebut Rosak, Sudah Pasti Kedudukan Bangunan Tersebut Goyah Dan Tidak Selamat.

          Beberapa Kejayaan Dan Kenangan Manis Telah Dikecapi Oleh Mahkamah Syariah Negeri Melaka Pada Tahun 2016. Antaranya, Majlis Perasmian Kompleks Mahkamah Syariah Negeri Melaka, Majlis Pentauliahan Peguam Syarie Negeri Melaka,  Penarafan 5 Bintang Bagi Inspektorat Rekod Msn/Jksn Seluruh Malaysia-Jksm Dan Arkib Negara, Penarafan 5 Bintang Bagi Inspektorat Keselamatan, Selain Berjaya Mengekalkan Pensijilan 5s Oleh Mpc. Tidak Ketinggalan Juga Projek-Projek Inovasi Yang Berjaya Mengharumkan Nama Mahkamah Syariah Negeri Melaka Di Peringkat Negeri, Kebangsaan Dan Antarabangsa Dengan Kejayaan Kumpulan Inovasi Seperti Kejayaan Kumpulan Aura Kesidang Yang Berjaya Merangkul Anugerah Emas (Gold Award) Di International Convention On Quality Control Cicles (Icqcc) 2016 Di Bangkok, Thailand. Anugerah Emas Di Konvensyen Team Excellence Peringkat Wilayah Timur  2016 & Dianugerahkan 2 Bintang Di Konvensyen Team Excellence Peringkat Kebangsaan 2016 Bagi Kumpulan The Sheriff, Serta Banyak Lagi Kejayaan-Kejayaan Lain Yang Berjaya Membuka Mata Banyak Pihak Dan Mengiktiraf Kejayaan Mahkamah Syariah Negeri Melaka Secara Langsung Dan Tidak Langsung. Setelah Pelbagai Usaha Dan Pencapaian Telah Dapat Dilaksanakan Di Mahkamah Syariah Negeri Melaka, Saya Yakin Bahawa Mahkamah Syariah Negeri Melaka Mampu Menjadi Sebuah Institusi Kehakiman Syariah Yang Berwibawa Dan Adil Selari Dengan Visi Dan Misi Yang Dibawa, Dengan Adanya Sokongan Jitu Dan Kerjasama Daripada Semua Pihak Khususnya Warga Kerja Mahkamah Syariah Negeri Melaka, Pengamal Undang-Undang, Agensi-Agensi Agama Serta Masyarakat Secara Umumnya.

          Walaupun Tahun Baru 2017 Baru Sahaja Beberapa Hari Membuka Tirainya, Kita Semua Warga Mahkamah Syariah Negeri Melaka Bakal Disajikan Dengan Pelbagai Program-Program Dan Aktiviti-Aktiviti Yang Telahpun Dirangka Dan Disusun Atur Oleh Pihak Pengurusan Tertinggi. Antaranya Adalah, Majlis Perasmian Mahkamah Syariah Masjid Tanah Dan Mahkamah Rendah Syariah Sungai Rambai, Muzakarah Hakim Syarie, Muzakarah Penyelarasan Isu-Su Perundangan Dan Pengurusan Perundangan Antara Jabatan / Agensi Agama Negeri Melaka, Projek Geran Penyelidikan, Sukan Mahkamah Syariah Kali Ke-4, Melaka Selaku Tuan Rumah, Serta Beberapa Program Dan Aktiviti Lain Yang Akan Dimaklumkan Dari Masa Ke Semasa. Justeru Itu, Saya Menyeru Kepada Warga Mahkamah Syariah Negeri Melaka Agar Dapat Memberikan Komitmen Yang Jitu Dan Kesungguhan Yang Penuh Agar Segala Program Dan Aktiviti Yang Dirancang Pada Tahun 2017 Ini Dapat Dilaksanakan Dengan Jayanya, Dengan Harapan Kita Semua Dapat Merasai Manisnya Kejayaan Ini Bersama-Sama Di Hujungnya Nanti, Insya’allah.

          Di Akhir Kata, Saya Menyeru Kepada Semua Agar Jangan Mudah Berputus Asa Dan Berpuas Hati Dengan Apa Yang Kita Ada. Terima Kasih Sekali Lagi Kepada Semua Atas Segala Usaha Dan Tenaga Yang Telah Dicurahkan Sepanjang Tahun 2016. Semoga Jabatan Yang Kita Sayangi Ini Akan Terus Bergerak Maju Dan Menjadi Institusi Kehakiman Syariah Yang Berwibawa Berteraskan Keadilan. Apa Yang Kita Lakukan Pada Hari Ini Semoga Membuahkan Hasil Di Akhirat Kelak.

 

Sekian, Wassalam. Selamat Tahun Baru dan Selamat Maju Jaya.

Y.A.A. Datuk Haji Mohd Radzi bin Haji Abd Latif
Ketua Hakim Syarie,
Mahkamah Syariah Negeri Melaka.

Foreword By Chief Syarie Judge

basmallah
 
Ketua Hakim Syarie Mahkamah Syariah Negeri Melaka
 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Alhamdulillah, marilah kita merafakkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah izin dan kurnia-Nya jua kita semua masih diberi peluang untuk terus menjalankan amanah dan berbakti di muka bumi Allah ini. Tahun 2014 telah meninggalkan kita, namun begitu segala usaha-usaha murni yang telah dirancang perlu diteruskan pada tahun 2015. Semoga semangat bekerja berpasukan, kegigihan dan keikhlasan kita semua dalam memenuhi amanah dan tuntutan kepada agama, bangsa dan negara akan terus diberkati dan mencapai matlamat yang dihasratkan. Semoga dengan kehadiran Tahun Baru ini, memberi lebih sinar dan harapan buat semua. Dengan kesempatan yang diberikan ini, saya mengharapkan kita dapat menggunakan dengan sepenuh manfaat yang ada di samping memperbaiki prestasi ke arah yang lebih baik.

Selaku Ketua Hakim Mahkamah Syariah Negeri Melaka (MSNM),harapan saya amat besar, khususnya kepada warga MSNM. Banyak perkara yang masih boleh dipertingkatkan dalam memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada masyarakat. Alhamdulillah, sepanjang tahun 2014 pebagai kejayaan yang telah berjaya kita kecapi bersama. Semoga tahun 2015 ini, kita dapat meneruskan lagi serta menambahbaik usaha-usaha kita semua bagi terus mencipta kejayaan demi kejayaan pada masa hadapan. Terima kasih juga kepada para pekerja lain yang banyak memberi komitmen yang jitu serta kerjasama dan sokongan yang tidak berbelah bagi. Saya percaya, jika kelestarian serta penambaikan ini dilakukan dengan penuh disiplin dan komited, Mahkamah Syariah akan menjadi satu badan yang dipandang mulia dan dihormati seantero dunia.

Pada masa kini, perjalanan dalam melalui liku zaman transformasi era multimedia yang semakin canggih dan komunikasi berorientasikan maklumat tanpa sempadan, bukan sedikit cabaran yang bakal dihadapi. Lantaran itu, warga MSNM perlu menyiapkan diri dalam mencipta modal insan yang berpengetahuan, kreatif, inovatif serta berdaya saing, disamping memerlukan kekuatan dan kerjasama semua pihak antara kakitangan dan jalinan mesra bersama pelanggan dan orang awam, harus dipupuk demi kemajuan Syariah dan agama Islam.

Di akhir perutusan ini, saya berharap agar kita semua sentiasa berada dalam Rahmat Allah SWT. Apa yang kita lakukan pada hari ini semoga membuahkan hasil di akhirat kelak. Saya akhiri kalam ini dengan ucapan Salam Sejahtera kepada semua.

Y.A.A. Datuk Haji Mohd Radzi bin Haji Abd Latif
Ketua Hakim Syarie,
Mahkamah Syariah Negeri Melaka.

 

Foreword by Chief Syarie Judge

 basmallah

 Ketua Hakim Syarie Mahkamah Syariah Negeri Melaka

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Segala pujian bagi Allah S.W.T. pentadbir seluruh alam dan selawat serta salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W., ahli keluarga baginda, para sahabat dan semua pada muslimin dan muslimat sekalian.

Sama-sama kita panjatkan kesyukuran kepada Allah S.W.T di atas limpah dan kurniaNya kepada kita. Pertama-tamanya, saya ingin mengucapkan terima kasih ke atas mantan Ketua Hakim Syarie Negeri Melaka, YAA Datuk Mahammad bin Ibrahim. Banyak jasa yang telah disumbangkan oleh YAA Datuk Mahammad bin Ibrahim sepanjang perkhidmatan beliau di Mahkamah yang dicintai ini. Insya Allah, dengan rahmat dan ‘innayahnya dapat saya menyambung legasi dan meneruskan usaha baik yang ditinggalkan oleh beliau.

Seperti yang kita sedia maklum, Mahkamah Syariah Negeri Melaka akan dirasmikan oleh Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong pada tahun ini. Oleh yang demikian, saya berharap agar kita sama-sama dapat memberikan sumbangan dan perkhidmatan yang terbaik bagi menjayakan majlis perasmian ini. Segala jasa yang telah disumbangkan oleh tuan-tuan dan puan-puan ke arah menjayakan majlis ini, saya dahului dengan ucapan jutaan terima kasih.

Untuk makluman, pada Perhimpunan Bulanan Kerajaan Negeri Melaka (Bil 4/2014) yang bertarikh 7 April 2014, Mahkamah Syariah Negeri Melaka telah diberi anugerah 5 bintang oleh Malaysia Portals and Websites Assessment (MGPWA) 2013. Sehubungan itu, saya ingin merakamkan tahniah kepada semua warga Mahkamah Syariah Negeri Melaka di atas pencapaian tersebut. Ini juga merupakan satu pencapaian yang amat membanggakan.

Akhir kata, semoga kita semua terus bersatu hati dan bekerjasama secara kekeluargaan dalam melakukan sesuatu pekerjaan. Apa yang kita lakukan hendaklah datang dari perasaan ikhlas semata-mata kerana Allah. Kita juga hendaklah sentiasa berusaha dan bekerjasama untuk mengekalkan setiap kejayaan yang telah kita kecapi. Insya Allah berkat daya usaha dan kerjasama yang kita lakukan pada masa ini akan mendatangkan kejayaan yang lebih cemerlang pada masa akan datang.

Y.A.A. Tuan Mohd Radzi bin Hj Abd Latif
Ketua Hakim Syarie,
Mahkamah Syariah Negeri Melaka.

 

FaLang translation system by Faboba