Laman Web Rasmi
A- A A+
| A A A A |   Arial | PT Sans | Century |

1akses

  • Selamat Datang ke Laman Web Rasmi MSNM
  • Tahniah & Syabas MSNM
  • Salam Maulidur Rasul 1442H
  • Stayathome
  • Tahniah MSNM
  • Info Berkaitan Novel Coronavirus
  • Zon Menutup Aurat
  • EKSA

Perutusan Ketua Hakim Syarie Sempena Tahun Baru 2020

YAA Tuan Mohd Nadzri bin Abdul Rahman

Bismillah &  Salam 

Assalamualaikum  w.b.t dan Salam Sejahtera kepada semua.

Alhamdulillah pertamanya marilah sama-sama kita menzahirkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah dan rahmatNya kita dikurniakan peluang untuk melangkah ke tahun 2020 ini. Kita bersyukur kerana termasuk dalam kalangan mereka yang sentiasa peka dan prihatin akan waktu yang datang dan pergi dan sentiasa berusaha untuk menggunakan ia sebaiknya. Waktu adalah satu bentuk amanah dan satu kerugian besarlah kepada mereka yang membiarkan waktu berlalu tanpa melakukan sesuatu yang bermanfaat.

Sesungguhnya, tahun 2019 telah kita lalui dengan pelbagai kenangan pahit manis, ada diantara kita yang diberi ujian kesihatan dan keuzuran oleh Allah swt, perpindahan dan  persaraan sahabat-sahabat yang kita sayangi sehingga kita terasa akan ketiadaan mereka, tak kurang juga yang kehilangan keluarga tercinta dan sebagainya. Kita juga dibebani dengan masalah kewangan yang agak sukar, namun itu tidak bermakna kita gagal mengejar impian kita sebagai entiti yang bekerja dalam satu organisasi. Sesungguhnya, walaupun kita kehilangan ramai tonggak yang menjadi tulang belakang organisasi dan kemampuan kewangan yang minimum, namun kita masih bekerja sebagai satu pasukan yang utuh dan banyak juga kejayaan yang telah kita capai sepanjang 12 bulan berlalu. Saya percaya semua pencapaian sepanjang tahun 2019 merupakan natijah kepada curahan keringat, usaha, komitmen penuh ikhlas dan kerjasama erat di kalangan seluruh warga MSNM menempuh cabaran dan rintangan dalam memastikan MSNM ini terus mencipta kecemerlangan.

Kita telah berjaya harungi tahun 2019 dengan penuh gemilang, saya tidak berhasrat untuk membilang semua kejayaan organisasi dan pelbagai inovasi yang pernah kita capai sepanjang 12 bulan yang lalu sehingga kita dikenali sebagai antara Mahkamah Syariah yang paling efektif dari segenap sudut dan segi, biarkan 2019 berlalu dengan pelbagai kemeriahan dan kejayaan yang telah kita harungi, dan kita tidak sepatutnya terus berbangga dengan apa yang telah kita capai, agar kita tidak terbuai oleh kejayaan masa lalu. 

Tahun 2020 adalah tahun getir yang menentukan hala tuju Mahkamah Syariah Negeri Melaka. Kita harus memandang ke hadapan dan mencipta lebih banyak kejayaan berbanding masa silam. Untuk menjadi yang terbaik kita hendaklah terbaik dalam semua segi. Ianya tidak terhenti dalam urusan resmi, rutin tugasan harian dan sebagainya sahaja, malah meliputi keseluruhan cara hidup kita. Tanamkan azam dan tekad untuk bekerja lebih amanah, ikhlas, bersungguh-sungguh sepanjang 2020 nanti. Jadikanlah akhlak Rasulullah SAW sebagai panduan dalam kita melaksanakan tugasan sepanjang masa, iaitu sentiasa benar (sidiq) dan jujur setiap masa dan ketika, berusaha menyampaikan (tabligh) sesuatu yang benar samada kepada rakan sekerja mahupun pelanggan, sentiasa amanah dan ikhlas dalam pekerjaan dan bertanggungjawab, dan sentiasa berusaha untuk meningkatkan diri menjadi seorang yang cerdas, berilmu dan mempunyai intelektual yang tinggi (fathonah).

Saya percaya, jika semua sifat tersebut ada pada diri semua warga MSNM, tidak ada yang mustahil untuk kita capai sepanjang 2020 nanti. InsyaAllah.

Akhir sekali, marilah sama-sama kita perkukuhkan ukhuwah, memantapkan ekosistem yang produktif, membudayakan inovasi, dan terus berdoa agar kita diberikan kekuatan dan keupayaan dan dapat menyempurnakan segala amanah yang telah diberikan  dengan sebaiknya dalam mempertingkatkan sistem kehakiman syariah dan seterusnya MSNM dikurniakan kejayaan dan pencapaian yang lebih cemerlang yang berpaksikan syariah sebagai asas keadilan!

Selamat Tahun Baharu 2020

 Sekian, Wassalam.  

Syariah Asas Keadilan

Y.A.A. Datuk Mohd Nadzri bin Abdul Rahman
Ketua Hakim Syarie,
Mahkamah Syariah Negeri Melaka.

FaLang translation system by Faboba

BERITA DAN AKTIVITI