Laman Web Rasmi
A- A A+
| A A A A |   Arial | PT Sans | Century |

1akses

Umum

SOALAN 1 :
Apakah yang perlu saya lakukan sekiranya bekas suami enggan mematuhi perintah Mahkamah ?

JAWAPAN :
Anda boleh :
1. Memfailkan saman penghutang penghakiman; atau
2. Jika ingkar, memohon penguatkuasaan perintah; atau
3. Jika masih ingkar, maka boleh memohon pelaksanaan perintah sama ada melalui pengkomitan ke penjara, penyitaan dan penjualan serta hiwalah (garnishment);
4. Selain itu, anda boleh membuat pengaduan di bahagian penguatkuasaan JAIM untuk tindakan;
5. Rujuk kepada Bahagian Sokongan Keluarga, Mahkamah Syariah Negeri Melaka. (berkaitan nafkah).

SOALAN 2 :
Saya telah mendaftar permohonan, bilakah kes saya akan disebut di mahkamah ?

JAWAPAN :
Setelah kes tersebut didaftar, kebiasaannya Mahkamah akan menetapkan tarikh sebutan dalam tempoh 21 hari selepas pendaftaran, namun tertakluk kepada jumlah kes-kes yang ditetapkan di hadapan Hakim.

SOALAN 3 :
Bagaimanakah cara untuk saya mendapatkan khidmat guaman sekiranya saya tidak berkemampuan ?

JAWAPAN :
Anda boleh berhubung dengan Biro Bantuan Guaman Melaka, Tingkat 8, Wisma Persekutuan, Jalan Hang Tuah, Melaka di talian 06-2841952.

SOALAN 4 : 
Bagaimana seseorang isteri itu boleh disabitkan nusyuz ?

JAWAPAN :
Mahkamah boleh mensabitkan seorang isteri itu nusyuz sekiranya terbukti bahawa isteri tersebut enggan   ( tanpa apa-apa sebab yang sah mengikut Hukum Syarak)  mematuhi kemahuan @ perintah sah suami antara lain ;

1. Menjauhkan diri dari suaminya
2. Dia meninggalkan rumah bertentangan dengan kemahuan suami
3. Dia enggan berpindah bersama suaminya  (Sekyen 60 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Melaka)

SOALAN 5 :
Siapakah yang berhak terhadap tuntutan hak jagaan anak ?

JAWAPAN :
Secara asalnya , Hukum Syarak menetapkan bahawa ibu lebih berhak terhadap penjagaan anak (Hadanah) sekiranya ibu hilang kelayakan dibawah Hukum Syarak maka hak tersebut diberikan kepada nenek sebelah ibu keatas kemudian barulah bapa . mahkamah boleh mempertimbangkan pilihan anak dengan mengikut kepada kebajikan dan kepentingan anak tersebut ( Seksyen 82  Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Melaka).

SOALAN 6 :
Apa Itu Harta Sepencarian ?

JAWAPAN :
Harta aset yang diperolehi oleh suami isteri, semasa dalam perkahwinan. Pihak-pihak boleh menuntut harta sepencarian samada semasa dalam pernikahan atau selepas penceraian. (Seskyen 122 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Melaka Tahun 2002).

SOALAN 6 :
Saya telah memfailkan kes kembali taat di Mahkamah Rendah Syariah Negeri Melaka dan kemudian isteri saya pula memfailkan kes di Selangor berkaitan fasakh. Oleh yang demikian, mahkamah manakah yang patut mendengar kes tersebut ?

JAWAPAN :
Dalam perkara ini jelas terdapat pertindihan kes yang melibatkan pihak-pihak yang sama tetapi berlainan mahkamah yang bakal mendengar kes tersebut. Satu kes didengar di Melaka dan satu lagi di Selangor.
Persoalan yang harus dirungkaikan di sini ialah mahkamah negeri manakah yang harus mendengar kes tersebut terlebih dahulu.

Merujuk kepada Arahan Amalan Mahkamah Syariah No. 4 Tahun 2003 menunjukkan yang Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia dijadikan sebagai pusat rujukan bagi kes-kes yang bertindih di antara negeri-negeri dengan mewujudkan Jawatankuasa Naziran Pertindihan kes.

Oleh yang demikian sekiranya berlaku pertindihan kes di antara sesebuah negeri, kes-kes tersebut hendaklah dihantar ke Jawatankuasa Naziran Pertindihan Kes di Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia terlebih dahulu untuk mendapatkan ulasan dan apa-apa arahan sebelum diberikan penghakiman.



 



 


 

Pernikahan

SOALAN 1 :
Bagaimana cara saya ingin berpoligami dan apakah prosedur permohonan poligami ?

JAWAPAN :
1. Failkan permohonan beserta afidavit ke Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Melaka.
2. Pastikan semua dokumen sokongan lengkap (sila rujuk senarai semak borang permohonan seperti di ruangan muat turun borang).
3. Pastikan anda memenuhi kehendak Seksyen 23 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Melaka 2002.
4. Hadir pada hari sebutan dengan mengemukakan keterangan dan saksi-saksi termasuk keterangan isteri dan bakal isteri serta wali.

SOALAN 2 :
Suami saya telah berpoligami tanpa pengetahuan saya. Apakah yang harus saya lakukan?

JAWAPAN :
Sekiranya pernikahan poligami tersebut disahkan oleh mahkamah, puan boleh memohon perintah nafkah diri puan, nafkah anak,  harta sepencarian, hutang dalam perkahwinan, tunggakkan nafkah isteri dan anak serta hak tempat tinggal.

SOALAN 3 :
Dalam keadaan bagaimanakah pernikahan secara wali hakim boleh dipohon di mahkamah ?

JAWAPAN :
Mereka yang boleh memohon ialah di antaranya :
1. Saudara baru (muallaf) yang tidak mempunyai wali nasab yang beragama islam.
2. Wali ghaib
3. Wali enggan
4. Anak tak sah taraf
5. Wali dalam ihram

SOALAN 4 :
Dalam keadaan bagaimana pernikahan perlu mendapat kebenaran mahkamah syariah ?

JAWAPAN :
Sesuatu perkahwinan perlu mendapat kebenaran Mahkamah (Seksyen 18 Enakmen Undang- Undang Keluarga Islam Negeri Melaka 2002)
1. Perkahwinan bawah umur (lelaki kurang 18 tahun, perempuan kurang 16 tahun)
2. Seorang janda berhias ( isteri diceraikan tanpa disetubuhi )
3. Perempuan tidak mempunyai wali nassab mengikut Hukum Syarak

SOALAN 5 :
Saya telah bertunang dengan seorang perempuan setahun yang lepas dan sepatutnya melangsungkan perkahwinan bulan Julai 2011. Tetapi malangnya seminggu sebelum majlis perkahwinan saya berlangsung, tunang saya telah memutuskan pertunangan dan tidak mahu meneruskan perkahwinan. Jadi apakah tindakan yang boleh saya ambil dalam perkara ini ? 

JAWAPAN :
Dalam perkara ini apabila salah satu pihak enggan atau ingkar meneruskan perkahwinan selepas pertunangan dilakukan, maka pihak tersebut telah ingkar tunang. Tuan dalam perkara ini bolehlah merujuk kepada mahkamah syariah untuk memulakan prosiding ke atas pihak yang ingkar berdasarkan enakmen yang sedia ada.

Tuan juga dinasihatkan berjumpa peguam syarie bagi mendapatkan nasihat sewajarnya dalam memfailkan permohonan ingkar tunang bagi membuktikan kewujudan keingkaran telah berlaku dan kos-kos yang terlibat dalam keingkaran tersebut.

Merujuk kepada Seksyen 15, Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Melaka) 2002 iaitu jika mana-mana orang telah mengikat suatu pertunangan mengikut Hukum Syarak, sama ada secara lisan atau secara bertulis, dan sama ada secara bersendirian atau melalui seorang perantara dan kemudiaannya enggan berkahwin dengan pihak satu lagi itu tanpa apa-apa sebab yang sah manakala pihak yang satu lagi bersetuju berkahwin dengannya, maka pihak yang mungkir adalah bertanggungan memulakan pemberian-pemberian pertunangan, jika ada atau nilainya dan membayar apa-apa wang yang telah dibelanjakan dengan suci hati oleh atau pihak yang satu lagi untuk membuat persediaan bagi perkahwinan itu, dan yang demikian itu boleh dituntut melalui tindakan dalam mahkamah.

SOALAN 6 :
Saya berkahwin kira-kira 5 tahun lalu. Sepanjang perkahwinan itu suami saya sering memukul saya hingga cedera. Pernah juga tangan saya patah kerana dipukul dengan tukul tetapi saya hanya beritahu doktor saya terjatuh selepas diberi amaran oleh suami. Saya sudah tidak sanggup menahan penderitaan ini tetapi tidak tahu apa yang harus dilakukan. Pada masa ini saya langsung tidak dibenarkan keluar rumah kerana muka dan badan saya ada kesan lebam dipukul suami. Jadi apa yang saya haruskan untuk membebaskan saya dari masalah ini terutama berkaitan perkahwinan saya?

JAWAPAN :
Dalam perkara ini puan boleh merujuk kes puan di Mahkamah syariah untuk membubarkan perkahwinan sama ada secara taklik atau fasakh.

Merujuk peruntukan undang-undang yang sedia ada di Melaka, puan bolehlah merujuk kepada seksyen 50 berkaitan perceraian di bawah ta’liq atau janji mahupun seksyen 53 berkaitan perintah untuk membubarkan perkahwinan atau fasakh  Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Melaka 2002.

Fasakh ialah membatalkan atau melepaskan akad nikah disebabkan oleh kecacatan yang berlaku pada waktu akad tau kecacatan yang mendatang selepas berlakunya akad nikah yang menghalang kekalnya perkahwinan.

Fasakh juga bermaksud membatalkan ikatan perkahwinan melalui kuasa kadi dengan sebab-sebab tertentu tanpa ucapan talak. Kedua-dua pasangan suami isteri tidak sanggup lagi untuk meneruskan perkahwinan, dan sekiranya diteruskan juga, ia boleh menyebabkan keruntuhan rumahtangga.

Fasakh diharuskan untuk kebaikan kedua-dua pihak, sama ada pihak suami atau pihak isteri. Isteri boleh menuntut fasakh daripada suaminya di Mahkamah Syariah jika berlaku beberapa perkara, antaranya:

• Suami tidak bertanggungjawab menanggung nafkah zahir atau nafkah batin.
• Suami menghilangkan diri tanpa berita setelah sekian lama.
• Suami tidak berlaku adil terhadap isteri-isterinya (sekiranya suami beristeri lebih daripada satu).
• Suami menghidap penyakit merbahaya yang sukar untuk diubati.
• Suami tidak taat pada ajaran Islam dan suka melakukan perkara-perkara maksiat.
• Suami telah melakukan kezaliman ke atas dirinya (diri isteri), seperti memukul dan sebagainya.

Manakala Takliq ialah Perceraian melalui lafaz taklik ini diperakui sah di Malaysia, malah pengharusan ini diperuntukkan secara jelas dalam enakmen-enakmen keluarga Islam bagi setiap negeri di Malaysia. 

Seseorang perempuan yang bersuami boleh, jika berhak mendapat perceraian menurut syarat-syarat perakuan taklik yang dibuat selepas perkahwian, memohon kepada mahkamah untuk menetapkan bahawa peerceraian yang demikian telah berlaku. 

Adapun lafaz taklik yang dilafazkan oleh setiap suami atau yang disediakan oleh pihak pendaftar perkahwinan ialah lafaz taklik tersebut mengikat para suami daripada melakukan perkara-perkara yang boleh memudaratkan si isteri. 

Di Malaysia setiap negeri mempunyai lafaz taklik tersendiri, pada dasarnya kesemua lafaz ini adalah untuk untuk mengikat suami daripada melakukan sesuatu yang boleh memudaratkan si isteri, oleh itu si isteri berhak meminta cerai taklik sekiranya suami melanggar apa yang ditaklikkannya. 

Puan juga dinasihatkan berjumpa peguam syarie bagi mendapatkan nasihat sewajarnya dalam memfailkan permohonan pembubaran perkahwinan itu.

Kesimpulannya, maka dalam kes puan ini, puan bolehlah menggunakan mana-mana seksyen yang telah dinyatakan tadi dalam membebaskan diri puan dari ikatan perkahwinan tersebut.

SOALAN 7 :
Adakah seseorang lelaki yang ingin berkahwin dengan gadis di bawah umur akan dikenakan denda apabila lelaki tersebut meminta kebenaran berkahwin dari mahkamah, dan berapakah denda yang harus dibayar?

JAWAPAN :
Tiada sebarang denda yang dikenakan kepada pasangan yang ingin berkahwin dibawah umur. Tetapi, pasangan tersebut hendaklah membuat Permohonan Kebenaran Kahwin Bawah Umur di Mahkamah Syariah di daerah tempat tinggal.

Merujuk kepada Seksyen 8 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Melaka) 2002 menyatakan tiada perkahwinan boleh diakadnikahkan di bawah Enakmen ini jika lelaki itu berumur kurang daripada lapan belas tahun atau perempuan itu berumur kurang daripada enam belas tahun kecuali jika Hakim Syarie telah memberi kebenarannya secara bertulis dalam hal keadaan tertentu.

Jadi dengan adanya kebenaran kahwin bawah umur dari mahkamah, maka  barulah perkahwinan dapat diteruskan.

Penceraian

SOALAN 1 :
Apakah jenis-jenis perceraian yang boleh difailkan ke mahkamah syariah?

JAWAPAN :
Berdasarkan Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Melaka 2002, jenis perceraian yang boleh difailkan ialah :
a. Tuntutan perceraian
b. Pengesahan Perceraian
c. Tuntutan Fasakh
d. Tuntutan Pengesahan Takliq
e. Khuluk (Tebus Talaq)

SOALAN 2 :
Apakah hak yang boleh saya tuntut selepas perceraian? 

JAWAPAN :
(sekiranya masih hidup) Anda boleh membuat tuntutan nafkah anak, nafkah eddah, harta sepencarian, hak penjagaan anak (hadhanah), sagu hati perkahwinan (muta’ah), hak tempat tinggal semasa dalam eddah, hutang dalam perkahwinan, tunggakan nafkah isteri dan anak. Namun sekiranya pihak Defendan meninggal dunia (bercerai mati), anda boleh membuat tuntutan harta sepencarian , pembahagian harta pusaka (secara faraid) dan hutang dalam perkahwinan.

SOALAN 3 :
Adakah terdapat istilah ‘gantung tak bertali’ pada pandangan Fikh Islami ?

JAWAPAN :
Tidak ada. Anda boleh memohon cerai secara fasakh, pengesahan takliq, tebus talaq atau dengan kuasa hakam (perundingan) yang diperintahkan oleh mahkamah.

SOALAN 4 :
Apakah itu Cerai Ta'liq ?

JAWAPAN :
Ta'liq ertinya perjanjian yang telah dibuat oleh suami selepas akad nikah mengikut Hukum Syarak dan sepertimana yang diperuntukkan dalam Akta/Enakmen/Ordinan Undang-undang Keluarga Islam Negeri. Cerai Ta'liq boleh disabitkan apabila berlaku pelanggaran ke atas Ta'liq dan setelah aduan dibuat serta disahkan oleh Mahkamah.

SOALAN 5 :
Apakah itu Tebus Talaq (Khulu') ?

JAWAPAN :
Perceraian Tebus Talaq ialah satu perceraian yang diminta oleh isteri daripada suaminya dengan wang atau harta benda sepertimana yang dipersetujui melalui ijab dan qabul. Cerai Khulu' adalah merupakan cerai Bain Sughra dan tidak boleh dirujuk melainkan dengan akad dan mas kahwin yang baru.

SOALAN 6 :
Apakah yang dimaksudkan dengan Fasakh ?

JAWAPAN :
Fasakh ialah pembubaran perkahwinan disebabkan oleh sesuatu perkara yang diharuskan oleh Hukum Syarak. Di antara perkara-perkara yang mengharuskan fasakh ialah apabila suami atau isteri :

+ Tidak diketahui di mana mereka berada selama tempoh lebih dari satu (1) tahun.
+ Tidak mengadakan peruntukkan nafkah isteri selama tempoh tiga (3) bulan.
+ Telah dihukum penjara selama tempoh tiga (3) tahun atau lebih.
+ Tidak menunaikan tanpa sebab yang munasabah nafkah batin selama satu (1) tahun.
+ Telah mati pucuk.
+ Telah gila selama tempoh dua (2) tahun.
+ Sedang mengidap penyakit kusta atau penyakit kelamin yang berjangkit.
+ Lazim menyakiti atau menjadikan kehidupan isterinya menderita.
+ Berkawan dengan perempuan-perempuan jahat.
+ Memaksa isteri hidup secara lucah.
+ Melupuskan harta isteri.
+ Menghalang isteri menunaikan kewajipan agama.
+ Tidak berlaku adil kepada isteri-isterinya mengikut Hukum Syarak..
+ Tidak menyetubuhi isteri dengan sengaja walaupun empat (4) bulan telah berkahwin.
+ Dan apa-apa alasan lain yang diiktiraf Hukum Syarak.

SOALAN 7 :
Bagaimana pengiraan eddah selepas perceraian ?

JAWAPAN :
Pengiraan eddah berbeza berdasarkan keadaan seperti berikut ;
1. Sekiranya isteri diceraikan tanpa setubuhi, maka tiada eddah baginya
2. Sekiranya isteri diceraikan dalam keadaan haid maka eddah sehingga suci daripada haid keempat
3. Sekiranya isteri diceraikan dalam keadaan yang bersih tanpa disetubuhi selepas haidnya maka eddah dikira

SOALAN 8 :
Apabila berlakunya penceraian, bolehkah pihak-pihak dibenarkan menuntut harta sepencarian dan bagaimana mahkamah syariah membuat keputusan atau mekanisme yang digunakan untuk mengira jumlah nilai harta sepencarian?

JAWAPAN :
Harta sepencarian mengikut syarak ditafsirkan sebagai pemerolehan harta sepanjang tempoh perkahwinan sama ada membabitkan harta alih atau tak alih dan pihak yang memberi sumbangan sama ada secara langsung atau tidak langsung.

Tuntutan biasanya ditimbulkan oleh isteri atau bekas isteri apabila membabitkan sumbangan mereka sepanjang tempoh perkahwinan sama ada secara tak langsung misalnya urusan menguruskan rumah tangga. Sumbangan secara langsung misalnya isteri mengeluarkan modal terutama dalam bentuk kewangan untuk mendapatkan harta dalam tempoh perkahwinan. Begitu juga jika satu pihak itu meninggal dunia, pasangan akan meminta harta itu dibahagikan dulu sebagai harta sepencarian sebelum diisytihar sebagai harta pusaka.

Pemilikan ke atas sesuatu harta bukan berdasarkan kepada nama atas harta itu semata-mata kerana nama tertera belum membuktikan dia pemilik sebenar. Kenyataan itu dibuat dengan maksud adalah satu kezaliman jika hak milik sesuatu harta hanya diambil kira berdasarkan nama atas harta itu semata-mata sedangkan pihak satu lagi mungkin menyumbang cuma namanya tidak dinyatakan ke atas harta berkenaan.

Rasional keharusan pembahagian harta sepencarian menunjukkan pengiktirafan syarak terhadap hak, habuan dan pemilikan pihak berusaha mendapatkan harta itu sepanjang perkahwinan. Hukum harta sepencarian tidak dinyata secara jelas. Cuma pembahagian itu dibuat bersandarkan kemaslahatan pihak atas prinsip keadilan dan hak.

Prosedur pembahagian harta sepencarian juga tidak dinyatakan secara tepat dalam hukum syarak. Merujuk kepada amalan biasa penghakiman di mahkamah syariah, pembahagian harta sepencarian ke atas seorang isteri ditentukan setakat harta yang diperoleh dalam tempoh perkahwinan.
Ini termasuk sumbangan isteri menguruskan rumah tangga, menjaga anak, melayan suami, menyebabkan suami merasa kehidupan yang tenang dan dapat menumpukan kerjaya sehingga suami dapat memperoleh harta dalam tempoh perkahwinan mereka. Tuntutan terhadap harta sepencarian bukanlah dihadkan kepada isteri saja, malah suami juga berhak menuntut harta sepencarian daripada isteri.

Merujuk kepada seksyen 122 (1) hingga (5) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Melaka 2002 menyatakan peruntukan undang-undang yang membolehkan harta sepencarian boleh dituntut.

SOALAN 9 :
Saya seorang ibu tunggal yang telah diceraikan oleh suami saya dan mempunyai 4 orang anak. Saya ingin bertanya kepada pihak mahkamah, jika saya ada masalah berkaitan pemberian nafkah oleh suami kepada anak-anak sedangkan telah ada perintah yang dikeluarkan oleh mahkamah.Jadi di manakah saya boleh merujuk masalah saya ini?

JAWAPAN :
Dalam perkara ini apabila puan telah memperolehi perintah dari mahkamah syariah tentang pemberiaan nafkah dan bekas suami puan dengan sengaja cuai ataupun ingkar untuk melaksanakan perintah tersebut maka puan bolehlah merujuk masalah puan ini di mahkamah syariah berhampiran. Di mahkamah syariah terdapat satu unit yang dipanggil Bahagian Sokongan Kelurga (BSK) khususnya membantu mereka-mereka yang berhadapan dengan masalah pelaksanaan nafkah.

Di antara fungsi-fungsi Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) ialah:

a) Meleraikan Konflik dihadapi wanita serta ibu tunggal yang berdepan masalah mendapatkan nafkah seperti diperintahkan mahkamah.
b) Melaksanakan penguatkuasaan ke atas perintah mahkamah khususnya dalam kes nafkah dan saraan.
c) Memberi khidmat nasihat perundangan Islam kepada orang awam.
d) Meyalurkan bantuan kewangan sara hidup sementara melalui sumber dana kewangan yang diharuskan hukum syarak kepada keluarga yang menghadapi masalah tuntutan nafkah.
e) Membetul salah faham terhadap kelewatan membabitkan masalah mematuhi perintah mahkamah seperti pembayaran nafkah dan hak penjagaan anak.

SOALAN 10 :
Apakah tindakan yang wajar dilakukan sekiranya penceraian berlaku di rumah?

JAWAPAN :
Penceraian boleh berlaku di mana-mana sama ada di luar Mahkamah atau di dalam Mahkamah. Sekiranya penceraian berlaku di luar Mahkamah, maka pihak-pihak tersebut hendaklah membuat Permohonan Pengesahan Lafaz Cerai di Mahkamah bagi menentukan kesahihan lafaz tersebut sama ada berlaku talaq ataupun tidak.

Merujuk kepada Seksyen 57 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Melaka) 2002 menyatakan tentang pendaftaran penceraian di luar mahkamah.

Faraid

SOALAN 1 :
Ayah saya telah meninggal dunia, apa yang perlu saya lakukan ke atas harta yang ditinggalkan?

JAWAPAN :
Anda hendaklah memohon pembahagian faraid terhadap harta tersebut di Mahkamah Tinggi Syariah.

SOALAN 2 :
Apakah yang dimaksudkan dengan Hibbah ?

JAWAPAN :
Hibbah ialah pemberian harta/aset kepada seseorang secara sukarela semasa hayatnya tanpa berkehendak balasan ( iwad). Pemberi hibbah tidak boleh menarik balik hibahnya setelah setiap rukun hibbah dipenuhi iaitu : pemberi hibbah (al-wahib), penerima hibbah (al-mauhub laku). Barang  dihibahkan  (al-manhub) lafaz ijab kabul, menurut mazhab syafie akad nikah tidak sempurna kecuali selepas qabul . qabul berbeza-beza mengikut harta / aset. Sekiranya harta alih. Maka qabul berlaku dengan mengambil, memindah, mengasingkan harta tersebut dengan harta lain. Bagi harta tidak alih boleh berlaku dengan mengosongkan harta, menguasainay dan melakukan tasaruf terhadap harta tersebut seperti menyerahkan kunci dan seumpamanya.

SOALAN 3 :
Apakah yang dimaksudkan dengan wasiat wajibah?

JAWAPAN :
Pelaksanaan Wasiat Wajibah menunjukkan Islam amat menitikberatkan kebajikan dan kesempurnaan hidup umatnya, terutama anak-anak yang kehilangan ahli keluarga mereka.

Dalam perkara ini, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-83 yang bersidang pada 22 - 24 Oktober 2008 telah membincangkan mengenai Hukum Pelaksanaan Wasiat Wajibah. Muzakarah berpandangan dalam melaksanakan Wasiat Wajibah adalah harus mengambil pandangan yang menyatakan bahawa berwasiat kepada ahli-ahli waris (seperti cucu) yang tidak mendapat pusaka disebabkan halangan-halangan tertentu adalah merupakan suatu kewajipan yang perlu dilaksanakan.

Wasiat Wajibah ialah seorang anak yang bapa atau ibunya mati terlebih dahulu daripada datuk atau neneknya, anak tersebut iaitu cucu berhak untuk menerima Wasiat Wajibah dengan mengambil bahagian faraid bapa atau ibunya pada kadar tidak melebihi 1/3 daripada harta pusaka datuk atau nenek. Sekiranya bahagian ibu atau bapa adalah 1/3 atau kurang daripada 1/3, maka pembahagian tersebut hendaklah dilaksanakan pada kadar tersebut. Sekiranya bahagian tersebut melebihi 1/3 maka hendaklah dikurangkan pada kadar tidak melebihi 1/3.

 Pelaksanaan Wasiat Wajibah adalah tertakluk kepada syarat-syarat seperti berikut:

1. Anak lelaki dan perempuan daripada anak lelaki dan anak perempuan (cucu) ke bawah adalah layak untuk menerima Wasiat Wajibah.

2. Hendaklah kedua ibu atau bapa mereka meninggal dunia terlebih dahulu daripada datuk atau nenek atau ibu atau bapa meninggal dunia serentak dengan datuk atau nenek dalam kejadian yang sama atau berlainan.

3. Cucu lelaki dan perempuan bukan merupakan waris kepada harta pusaka datuk. Sekiranya mereka merupakan waris ke atas harta pusaka secara fardu atau ta’sib maka mereka tidak layak untuk mendapat Wasiat Wajibah walaupun bahagiannya sedikit berbanding Wasiat Wajibah.

4. Sekiranya anak lelaki atau anak perempuan berlainan agama dengan ibu atau bapa atau terlibat dengan pembunuhan ibu atau bapa, maka dia tidak berhak untuk mendapat Wasiat Wajibah daripada harta pusaka datuk.

5. Sekiranya datuk atau nenek telah memberikan harta kepada cucu melalui hibah, wakaf, wasiat dan sebagainya dengan kadar yang sepatutnya diterima oleh anak lelaki atau anak perempuan mereka sekiranya mereka masih hidup, cucu tidak lagi berhak untuk mendapat Wasiat Wajibah. Sekiranya pemberian tersebut adalah kurang daripada hak yang sepatutnya diterima oleh cucu daripada bahagian anak lelaki atau anak perempuan. Maka hendaklah disempurnakan bahagian tersebut.

6. Anak akan mengambil bahagian faraid bapa atau ibu yang meninggal dunia terlebih dahulu daripada datuk atau nenek dan kadar tersebut hendaklah tidak melebihi kadar 1/3 daripada nilai harta pusaka. Sekiranya bahagian tersebut adalah 1/3 atau kurang daripada 1/3, maka pembahagian tersebut hendaklah dilaksanakan pada kadar tersebut. Sekiranya bahagian tersebut melebihi 1/3 maka hendaklah dikurangkan pada kadar 1/3 melainkan setelah mendapat persetujuan ahli-ahli waris yang lain.

7. Pembahagian Wasiat Wajibah boleh dilaksanakan setelah didahulukan urusan berkaitan mayat, wasiat ikhtiyariyyah dan hutang piutang.

8. Pembahagian Wasiat Wajibah kepada cucu-cucu yang berhak adalah berdasarkan kepada prinsip faraid iaitu seorang lelaki menerima bahagian 2 orang perempuan.

SOALAN 4 :
Apakah perbezaan di antara wasiat, hibah dan faraid?

JAWAPAN :
Wasiat ialah suatu hasrat atau keinginan yang dizahirkan secara lisan atau bertulis oleh seseorang mengenai hartanya untuk diuruskan selepas berlaku kematiannya. Tetapi wasiat yang dibuat secara lisan adalah terdedah kepada fitnah akibat arahan yang tidak jelas dan boleh dipertikaikan di kalangan ahli waris.

Faraid dari segi bahasa bermaksud ketetapan.
Menurut istilah syarak pembahagian harta pusaka selepas kematian seseorang Islam yang telah ditetapkan di bawah hukum Syarak ke atas waris-waris yang sah atau layak (seperti anak, suami, isteri, ibu, bapa dan lain-lain). Harta yang dibahagikan kepada ahli waris adalah baki harta yang ditinggalkan setelah ditolak segala pembiayaan pengurusan jenazah, hutang-hutang pewaris sama ada berbentuk agama (seperti zakat, nazar dan lain-lain) atau hutang kepada manusia dan menunaikan wasiat yang dibenarkan oleh syarak.
Ada tiga golongan ahli waris yang melayakkan mereka menerima harta pusaka, pertama, melalui hubungan keturunan, perkahwinan dan juga wala’ (hubungan kekeluargaan). Isteri termasuk dalam golongan waris yang layak menerima pusaka melalui hubungan perkahwinan

Hibah ialah anugerah, pemberian atau hadiah yang melibatkan suatu akad yang mengandungi pemberiaan hak milik oleh pemberi harta kepada seseorang secara rela hati semasa hayatnya atas dasar kasih sayang dan kemanusiaan tanpa mengaharapkan balasan atau tukaran.

SOALAN 5 :
Saya merupakan seorang suami yang mempunyai 2 orang isteri. Saya mempunyai 3 orang anak dari isteri pertama dan mempunyai seorang anak dari isteri kedua. Saya mempunyai beberapa harta yang ingin saya serah dan bahagikan kepada anak-anak saya selepas kematian saya. Saya berhasrat untuk mewasiatkan harta-harta tersebut mengikut apa yang saya fikirkan adil kepada anak-anak saya.
Bagaimanapun, saya musykil kerana menurut pandangan dari beberapa rakan, saya tidak dibenarkan untuk mewasiatkan harta kepada ahli waris. Saya keliru dengan siapa yang dikira sebagai ahli waris kerana saya juga telah melihat beberapa produk yang ditawarkan oleh syarikat berkaitan yang membenarkan saya untuk  membuat wasiat kepada anak-anak saya?

JAWAPAN :
Pada asasnya wasiat hanya diberikan kepada bukan waris kerana tujuannya adalah untuk mendekatkan diri dengan Allah dan mengharapkan pahala. Ia juga diharap dapat memenuhi segala kekurangan yang ada ketika hayat.

Apa yang dimaksudkan dengan waris dalam konteks wasiat ialah orang-orang yang berhak mendapat pusaka dan dalam situasi kes ini anak-anak dan isteri-isteri tuan juga merupakan waris yang berhak menerima pusaka jika tuan meninggal kelak. Oleh kerana itu wasiat pada asasnya diberikan kepada bukan waris kerana mereka ini tidak termasuk dalam kalangan orang yang berhak untuk mendapat pusaka.

Nabi SAW bersabda yang maksudnya berbunyi;
“Allah telah berikan bahagian kepada setiap orang yang berhak. Maka tiada wasiat untuk waris.”
Bagaimanapun, wasiat kepada ahli waris masih boleh dilaksanakan sekiranya mendapat persetujuan dari ahli waris yang lain. Perlu diingat, ahli waris yang dimaksudkan mestilah ahli waris semasa kematian pewasiat dan bukan ahli waris semasa hayat pewasiat. Jika kesemua ahli waris bersetuju dengan wasiat yang dibuat maka perlaksanaan wasiat tersebut boleh dilaksanakan.

Merujuk kepada kes tuan, tuan boleh untuk melaksanakan wasiat kepada bukan waris. Bagaimanapun, wasiat kepada bukan waris tersebut tidak boleh melebihi dari 1/3 keseluruhan nilai harta. Tuan juga boleh mewasiatkan harta-harta tuan kepada anak-anak tuan yang juga merupakan ahli waris. Bagaimanapun, ianya bergantung kepada persetujuan waris. Wasiat kepada bukan waris melebihi 1/3 dari nilai harta juga boleh dilaksanakan sekiranya ia mendapat persetujuan waris. Harus diingat, persetujuan yang dibuat oleh waris hendaklah diperolehi selepas kematian pewasiat kerana hak tersebut hanya muncul selepas kematian pewasiat.

Pewasiat juga boleh menarik balik kesemua wasiatnya atau sebahagiannya kerana wasiat bukan suatu akad yang wajib, malahan harta yang diwasiatkan juga masih lagi menjadi milik pewasiat dalam tempoh hayatnya.

Merujuk kepada gambaran tuan kepada produk-produk yang ditawarkan, tuan perlu mendapatkan penjelasan yang lebih lanjut dari pengeluar produk-produk tersebut. Apa yang dikhuatiri ianya tidak menepati kehendak syarak. Tuan juga wajar meneliti setiap produk yangditawarkan agar ianya dapat dilaksanakan dengan sempurna selepas kematian tuan kelak.

SOALAN 6 :
Suami saya meninggal dunia setahun lalu akibat barah usus. Suami meninggalkan harta yang kini dalam proses untuk mendapatkan surat faraid dan pentadbiran harta dari Mahkamah Tinggi. Apa yang menjadi kemusykilan saya ialah caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) arwah suami dikeluarkan tanpa menunggu surat pentadbiran harta dari mahkamah. Wang itu dibolot bapa mentua kerana mengikutnya arwah suami menamakan beliau sebagai penama untuk caruman KWSP. Beliau berkata saya dan anak tidak berhak langsung ke atas simpanan itu dan ia adalah wasiat daripada arwah suami.

JAWAPAN :
Jika penamaan dibuat, KWSP memang berhak mengeluarkan wang simpanan itu kepada penama. Oleh itu, bukan menjadi kesalahan kepada KWSP mengeluarkan wang caruman itu kepada bapa mentua puan, melainkan puan terlebih dulu mendapat perintah mahkamah menghalang KWSP mengeluarkan caruman itu atau menghalang bapa mentua daripada mengambil wang itu.

Penamaan akaun caruman KWSP tidak boleh disifatkan sebagai wasiat. Hal ini kerana ia tidak memenuhi beberapa syarat wasiat seperti lafaz wasiat, kesaksian, kadar yang dibolehkan harta diwasiatkan, kepada siapa dinamakan dan ketiadaan milikan sempurna atas simpanan itu.

Bagi orang Islam, penamaan akaun caruman KWSP hanya bagi membenarkan KWSP mengeluarkan wang itu kepada penama untuk diagihkan kepada waris yang berhak. Pengeluaran wang dengan cara ini tidak mengambil masa lama di mana waris tidak perlu menunggu sijil faraid dan surat pentadbiran harta pusaka dikeluarkan. Penama bertanggungjawab sepenuhnya untuk mengagihkan wang itu mengikut hukum faraid.

Sebenarnya, ketika wang simpanan itu dikeluarkan, penama berkenaan dikehendaki menandatangani surat aku janji bahawa beliau akan mengagihkan wang simpanan itu mengikut faraid. Kegagalan mematuhi aku janji itu memberi kesan kepada penama dari sudut undang-undang. Tindakan undang-undang boleh diambil terhadap penama itu.

Penama bukan menjadi pemilik wang simpanan itu. Penama sebenarnya diamanahkan oleh orang yang menamakannya untuk mentadbir harta berkenaan supaya ia dapat diagihkan mengikut hukum faraid dengan segera.

Oleh demikian, puan boleh menuntut wang simpanan itu daripada mentua bagi kepentingan puan dan anak.
Begitu pun, puan dinasihatkan supaya cuba berunding dengan keluarga arwah suami terlebih dulu sebelum mengambil sebarang tindakan undang-undang. Hal ini kerana tindakan itu mungkin mengeruhkan perhubungan puan dan anak dengan keluarga arwah suami.

Puan perlu akui hakikat bahawa anak masih mempunyai pertalian darah dengan keluarga arwah suami. Pertalian ini sama sekali tidak boleh diputuskan oleh sesiapa pun. Mungkin juga bapa mentua tidak faham konsep penamaan dalam caruman KWSP dan menyangka bahawa ia menjadi miliknya. Jadi puan diminta menggunakan kaedah yang berhemah dalam menyelesaikan perkara ini.

Puan bolehlah menjelaskan kepada beliau secara baik kedudukan undang-undang sebenarnya. Jika perlu, puan boleh meminta beliau merujuk kepada orang yang lebih tahu mengenai perkara itu seperti peguam dan pegawai KWSP.

Jalan penyelesaian secara perundingan adalah paling sesuai dalam menyelesaikan sesuatu masalah. Jika boleh janganlah diputuskan hubungan kekeluargaan itu walaupun selepas ketiadaan suami puan.




FaLang translation system by Faboba